26 Apr 2010
PERCUTIAN FAMILY DI CAMERON HIGHLAND
25 Apr 2010
LAWATAN KE SABAH
19 Apr 2010
NILAI MURNI DALAM KBSR
Nilai murni adalah sesuatu amalan atau perbuatan yang baik. Nilai-nilai murni dalam KBSR terdiri daripada 17 nilai iaitu :
· Baik hati
· Berdikari
· Hemah tinggi
· Hormat-menghormati
· Kasih sayang
· Keadilan
· Kebebasan
· Keberanian
· Kebersihan fizikal dan mental
· Kejujuran
· Kerajinan
· Kerjasama
· Kesederhanaan
· Kesyukuran
· Patriotisme
· Rasional
· Semangat bermasyarakat
UCAPAN PERPISAHAN TAHUN 6
Contoh Jawapan Bahagian B (Tahun 6)
Sebagai wakil murid, anda dikehendaki menyampaikan ucapan di Majlis Perpisahan Akhir Tahun, Tahun 6. Tuliskan ucapan anda selengkapnya.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru yang hadir pada jamuan perpisahan tahun enam 2009. Saya selaku wakil murid tahun enam dikesempatan ini ingin menyampaikan ucapan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua guru Sekolah Kebangsaan Renek.
Betapa besarnya jasa guru yang telah mengajar kami daripada tidak mengenal huruf hingga mengenal huruf, daripada tidak tahu membaca hingga dapat membaca dengan lancar, daripada tidak tahu mengarang hingga boleh mengarang dengan baik.
Kami juga tahu bahawa semua guru di Sekolah Kebangsaan Renek ini merupakan guru berdidikasi yang sentiasa memupuk minat kami supaya lebih berdikari dan sentiasa mendengar nasihat guru. Mungkin dulu kami tidak mendengar nasihat guru tapi kami berjanji supaya sentiasa mendengar nasihat guru dan ibu bapa kami. Kami juga berjanji akan menjaga maruah dan nama baik Sekolah Kebangsaan Renek.
Kepada rakan-rakan sekalian, ingatlah kita semua akan menjejak kaki ke tingkatan 1. Kita semua akan meninggalkan sekolah ini yang memberikan seribu kenangan manis dan pahit yang kita telah alami bersama. Janganlah kita merosakkan nama baik sekolah dengan membawa imej buruk semasa berada di
Saya mewakili rakan-rakan memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan yang telah kami lakukan selama kami berada di sini. Kami juga memohon restu segala ilmu yang cikgu curahkan kepada kami. Kami berharap agar kami dapat melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.
Demikianlah serba sedikit ucapan saya pada pagi yang mulia ini. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, saya ingin berpesan kepada rakan-rakan saya supaya janganlah jadi anak murid yang tidak kenang jasa guru dan tidak menghormati guru semasa berada di sekolah menengah nanti.
Sekian, terima kasih.
18 Apr 2010
GURU YANG SAYA SAYANGI
Soalan 2
Tuliskan sebuah karangan bertajuk, “Guru yang saya sayangi”.
FAEDAH MENYERTAI KOKURIKULUM
Contoh Jawapan Bahagian B (Tahun 5 - OTI 1)
Soalan 1
Tulis sebuah karangan yang bertajuk “Faedah-faedah menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah”.
Kegiatan kokurikulum telah dianggap satu aktiviti yang penting tetapi pembabitan pelajar agak mengecewakan. Kegiatan kokurikulum adalah kegiatan luar bilik darjah yang melibatkan aktiviti seperti sukan dan permainan, kelab dan persatuan serta unit beruniform. Ada pelbagai faktor yang menyebabkan pelajar tidak mahu melibatkan diri mereka dalam aktiviti ini. Sikap tidak acuh pelajar ini telah menyebabkan kerajaan mewajibkan kegiatan ini dan menjadi syarat untuk pemilihan ke universiti. Sebenarnya, kokurikulum mempunyai banyak faedah yang tersirat kepada pelajar.
Pelajar yang terlibat dengan kokurikulum dapat menyihatkan badan mereka. Peluh yang keluar dapat menghilangkan toksik badan. Pelajar yang menghadapi era persekolahan zaman ini memang penuh masalah, jadi pembabitan dalam kokurikulum mampu mengurangkan tekanan ini. Kegiatan yang dijalankan itu mampu mengalih fikiran pelajar sejenak daripada persiapan peperiksaan mereka yang penuh dengan penghafalan dan membuat latihan. Jelaslah, minda mereka dapat berehat sebentar apabila melakukan aktiviti yang berbeza iaitu kegiatan kokurikulum.
Dalam masa yang sama pembabitan pelajar memastikan mereka tidak terbabit dengan aktiviti yang tidak sihat. Kegiatan kokurikulum dilakukan pada masa-masa yang telah ditetapkan. Penetapan masa ini menyebabkan pelajar terpaksa menguruskan masa mereka dengan bijak. Pelajar yang terbabit dalam aktiviti ini akan mengutamakan aktiviti kokurikulum dan pembelajaran mereka. Ringkasnya, mereka kekurangan masa untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat seperti melepak.
Selain itu, pelajar turut dapat menambah keyakinan diri mereka melalui aktiviti kokurikulum ini. Kokurikulum menyediakan satu “medan” yang sesuai kepada pelajar untuk memimpin atau mengetuai sesuatu pertubuhan. Situasi ini memberikan mereka satu keyakinan terhadap kemampuan mereka dalam aspek-aspek tertentu. Mereka mula menyedari bakat yang ada dan berupaya untuk mengembangkannya serta mengasahnya menjadi sesuatu yang lebih cemerlang lagi seperti memimpin pertubuhan belia, syarikat dan mungkin juga negara.
Malahan, aktiviti kokurikulum membuka minda dan mata pelajar tentang erti persahabatan dan pergaulan. Mereka akan bertemu dengan pelbagai orang dalam menjalankan aktiviti kokurikulum itu. Mereka mengenal jenis manusia sebenar terutama apabila menghadapi masalah untuk menganjurkan sesuatu aktiviti. Mereka juga mengenali erti persahabatan yang sejati. Pengalaman ini semua akan mengajar pelajar erti kehidupan yang tidak boleh mereka peroleh di luar.
Pelajar juga mengetahui banyak perkara baru. Aktiviti dalam pertubuhan beruniform akan mendedahkan mereka kepada cara-cara untuk menyelamatkan mangsa ketika kecemasan, cara berkhemah, cara memasak dan cara menguruskan perbelanjaan persatuan. Semua ini memberi satu pengetahuan yang berguna kepada pelajar. Ilmu ini turut memberi pelajar satu dimensi baru dalam cara mereka melihat sesuatu pertubuhan apabila mereka keluar dari sekolah.
Kesimpulannya, aktiviti kokurikulum haruslah disertai oleh semua pelajar tanpa sebarang prasangka buruk. Mereka tidak harus menganggap aktiviti ini akan menghalang kemajuan mereka dalam peperiksaan. Mereka tidak harus menyalahkan kokurikulum kalau mereka tidak memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Mereka seharusnya melihat aktiviti ini sebagai satu proses pembelajaran yang harus dialami oleh semua orang sebagai sebahagian daripada proses kehidupan kita sebagai manusia.
16 Apr 2010
13 Apr 2010
PENULISAN BAHASA MELAYU (SR)
Di sini saya ingin kongsikan email seorang rakan yang menceritakan pengalaman beliau mengajar karangan di sekolah rendah untuk panduan kita semua :
Seorang guru Bahasa Melayu baru bertukar ke sekolah baharu. Dia berhadapan dengan beberapa orang murid tahun lima yang masih belum mampu menghasilkan karangan yang baik. Walaupun masa untuk menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hampir dua tahun lagi, guru itu tetap risau akan keadaan murid-muridnya. Dia mahu membantu murid-murid itu mulai awal tahun ini juga. Dia meminta pandangan saya.
Langkah pertama yang perlu cikgu lakukan ialah meneliti profil murid. Kenali setiap murid dari pelbagai sudut, khususnya prestasi pembelajaran mereka. Kemudian, berbincanglah dengan guru yang mengajarkan karangan kepada mereka pada tahun-tahun sebelumnya. Cikgu mungkin memperoleh banyak maklumat daripada guru-guru yang berkenaan.
Selain itu, adakan juga perbincangan dengan murid-murid agar cikgu dapat meneroka kekangan yang mereka hadapi daripada mulut mereka sendiri. Setelah itu dan setelah melakukan beberapa tindakan yang lain, barulah cikgu dapat melakukan tindakan pembetulan dan penambahbaikan. Tegasnya, penyelesaian masalah hendaklah berdasarkan dapatan penyelidikan dan analisis data.
Dari segi pedagogi, sebelum mengarang murid mesti menguasai aspek tulisan mekanis . Aspek itu ialah kemahiran menulis huruf, suku kata dan perkataan. Hal ini dapat dilihat dari berbagai-bagai sudut. Antaranya termasuklah ketepatan bentuk, jarak, tekanan, kecondongan, kekemasan dan kepantasan. Aspek mekanis yang lain ialah kemahiran menggunakan huruf kecil, huruf besar dan tanda baca.
Cikgu sedia maklum bahawa antara tugas guru Bahasa Melayu termasuklah mengendalikan pemulihan ringan, iaitu pemulihan dalam bilik darjah biasa. Dapatan penyelidikan dan analisis data pasti membantu cikgu membuat keputusan sama ada murid-murid itu masih perlu menjalani pemulihan tulisan mekanis atau tidak.
Aspek penguasaan ejaan dan kosa kata amat penting. Jikalau kita mengabaikan aspek ini, karangan murid mungkin kurang bermutu atau "buruk" seperti karangan tentang "datuk saya" yang menjadi bahan lelucon dalam Facebook. Sayang, masyarakat kita lebih berminat menjadikan kelemahan orang sebagai bahan lelucon dan bukannya bahan analisis untuk melakukan pembetulan dan penambahbaikan. Saya yakin, cikgu tidak tergolong dalam kategori orang awam itu. Analisislah karangan murid-murid cikgu. Kemudian, rancang dan laksanakanlah aktiviti yang membolehkan murid-murid itu mengatasi kelemahan mereka dari segi ejaan dan kosa kata.
Guru yang baik mengadakan berbagai-bagai aktiviti untuk membantu murid menguasai ejaan dan kosa kata. Antaranya, mereka mengadakan aktiviti imlak dengan cara yang menyeronokkan seperti menyalin pengumuman, lirik lagu dan resipi. Teknik permainan bahasa seperti teka silang kata dan sahiba juga memungkinkan murid meningkatkan kemahiran mengeja dan menambah kosa kata. Gunakan teknik ini dan teknik lain agar asas untuk murid-murid cikgu itu menghasilkan karangan yang baik bertambah kukuh.
Karangan ialah gubahan fikiran yang terjelma secara lisan atau tulisan. Amat malang jikalau murid membawa kebiasaan lisan (terutamanya dalam situasi tidak formal) dalam penulisan mereka. Perkara ini sudah berlaku dan kelihatannya masih terus berlaku. Saya berharap kita bersama-sama menjadi benteng agar perkara ini tidak terus berlaku. Ada kumpulan teladan di alam nyata dan dalam interaksi maya yang dapat kita contohi. Sebagai guru atau mantan guru Bahasa Melayu, kita wajar menyertai kumpulan contoh itu. Kita bersama-sama dengan mereka menggunakan bahasa Melayu baku, sopan dan indah dalam pelbagai ranah komunikasi. Insya-Allah, murid-murid kita akan mencontohi kita dan hasilnya akan terpancar dalam karangan mereka.
Sekali lagi, karangan ialah gubahan fikiran. Gubahan fikiran yang ringkas ialah satu perkataan. Guru yang baik mengajarkan karangan secara bertatatingkat, iaitu menulis perkataan, frasa, satu ayat, beberapa ayat dan seterusnya beberapa perenggan. Maka wujudlah beberapa teknik. Antaranya termasuklah karangan berpandu, karangan terkawal dan mengarang secara bebas. Setiap teknik ini ada subtekniknya yang tersendiri. Mereka yang bergelar guru Bahasa Melayu di sekolah rendah mengetahui teknik ini dan berkemahiran mengendalikannya dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Jadi, gunakanlah teknik yang bersesuaian dengan murid-murid cikgu.
Inilah pandangan saya secara umum dan ringkas tentang penulisan karangan di sekolah rendah. Adapun pandangan dan dorongan mendalam serta latihan, wajarlah diperoleh melalui pembacaan, bengkel, kursus dan sebagainya. Mungkin pengalaman dan pendekatan cikgu berbeza. Sama-samalah kita kongsikannya. Insya-Allah murid kita akan dapat manfaatnya.
12 Apr 2010
SMART ENGLISH
JERTEH, 13 April - Pertandingan Smart English peringkat sekolah diadakan di Sekolah Kebangsaan Renek hari ini. Seramai 24 orang murid mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan. Peserta terdiri daripada 6 orang murid bagi setiap rumah sukan. Pertandingan dijalankan mengikut Sistem Rumah iaitu Rumah Biru, Merah, Hijau dan Kuning.
Menurut Ketua Panitia BI, Puan Suriana, pertandingan ini adalah bertujuan untuk memilih peserta bagi mewakili sekolah ini ke pertandingan Smart English peringkat Zon Jabi yang akan diadakan minggu hadapan bertempat di sekolah ini. Di samping itu, ianya juga bagi menambahkan mata bagi rumah sukan masing-masing. Menurutnya lagi, program ini dibahagikan kepada 6 station yang mana semua peserta terpaksa melalui keenam-enam stesen berkenaan bagi menentukan juara. Para hakim pula terdiri daripada guru-guru Bahasa Inggeris dan guru-guru BISP sekolah ini yang banyak pengalamannya.
Program bermula seawal jam 8.30 pagi dan berakhir pukul 12.30 tengah hari dengan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang. Tuan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Renek, En. Mizan b. Hj. Mohd menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
11 Apr 2010
KATA SENDI NAMA
Kata sendi ialah satu kata tugas yang boleh membentuk frasa dalam bahasa Melayu.
Kata tugas lain tidak membentuk frasa.
Kata tugas digunakan sebelum kata nama dan frasa nama.
Kata sendi nama pula mempunyai pelbagai tugas.
Lihat contoh-contoh di bawah :
Sendi Nama | Tugas/contoh |
di | Menunjukkan tempat (di pejabat). Menunjukkan perbuatan (dipukul, dicuci). |
ke | Menunjukkan tempat atau arah tujuan (ke Indonesia). Menunjukkan waktu (dari petang hingga ke malam). |
dari | Menunjukkan tempat atau arah datang. Menunjukkan waktu atau masa. |
kepada | Menunjukkan sasaran/ditujukan. Menunjukkan bahagian sesuatu. Menunjukkan perubahan keadaan. |
daripada | Menunjukkan punca (cadangan daripada Perdana Menteri). Menunjukkan sumber atau asal sesuatu (dibuat daripada bunga). Menunjukkan perbandingan (lebih banyak daripada). |
pada | Menunjukkan tempat sesuatu perbuatan (Layang-layang tersangut pada arial televisyen). Menunjukkan tempat tempat terdapatnya sesuatu (barang itu ada pada saya). Menunjukkan keterangan waktu (bermula pada tengah malam). |
untuk | Menunjukkan kegunaan sesuatu (alat untuk membuka pintu). Menunjukkan sesuatu telah dikhaskan (pelamin itu untuk mempelai sahaja). |
bagi | Menunjukkan kegunaan sesuatu (kegunaan tuas bagi mengangkat kubah masjid). Derma bagi pelarian Afghanisatn itu dilarikan orang. |
demi | Menunjukkan tujuan. Menunjukkan urutan Untuk menegaskan sesuatu. |
tentang | Menunjukkan rujukan |
dengan | Menunjukkan turut serta. Menunjukkan cara sesuatu perbuatan dilakaukan. Menunjukkan benda yang digunakan. Menunjukkan persamaan. |
sejak, semenjak | Menjadi penanda waktu atau masa. |
terhadap | Menunjukkan rujukan yang tentu. |
oleh | Menunjukkan pembuat dalam ayat pasif .
Menunjukkan sebab. |
akan | Menunjukkan rujukan selepas kata atau frasa adjektif. |
hingga, sampai | Menunjukkan had masa atau peringkat. |
seperti, bagai, umpama, laksana, bak | Menunjukkan perbandingan. |