1 Sep 2013

Sijil Simpanan Premium (BSN)


Tunggu nok dapat BMW tu.....huhu

Rahsia Di Sebalik Huruf Basmallah


UCAPAN basmalah berasal daripada ayat yang berbunyi Bismi Allah ar-Rahman ar-Rahim. Ayat ini biasa diertikan 'dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang".

Basmallah merupakan satu daripada tiga bahagian al-Quran. Dua bahagian yang lainnya adalah surah al-Fatihah dan isi al-Quran itu sendiri secara keseluruhan yang berjumlah 113 surah, daripada surah al-Baqarah sehingga surah an-Nas.

Atas dasar pembahagian itu, maka ada mufassir dan ulama yang menyebut basmalah sebagai ayat tunggal. Jika surah al-Fatihah disebut oleh para mufassir dan ulama sebagai intisari al-Quran, maka basmalah disebut sebagai intisari al-Fatihah. Dengan demikian dalam ayat basmallah terkandung intisari al-Quran.

Setiap pekerjaan yang baik, sunat dimulai dengan membaca basmallah. Hal ini didasarkan pada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: "Setiap perbuatan baik yang tidak dimulai dengan basmalah adalah kurang berkat."

Dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Apabila hamba-Ku memulai pekerjaannya dengan menyebut nama-Ku, maka menjadi kewajiban-Ku untuk menyempurnakan seluruh pekerjaannya serta Ku-berkati seluruh keadaannya."

Ada ulama yang berpendapat bahawa basmallah bukan bahagian daripada surah al-Fatihah, melainkan ayat tersendiri. Kerana itu, di Mekah dan Madinah, imam yang mengetuai solat tidak membaca basmallah ketika membaca al-Fatihah.

Pendapat itu didasarkan kepada riwayat Imam Malik bahawa para sahabat Nabi SAW tidak membaca basmallah ketika membaca surah al-Fatihah.

Pandangan serupa dikemukakan Imam Abu Hanifah yang menilai sahih beberapa hadis yang memberitakan bahawa Nabi SAW dalam mengerjakan solat tidak mendengar membaca basmallah.

Pandangan yang kemudian dianut secara rasmi oleh Mazhab Hanafi adalah bahawa basmalah boleh dibaca dalam solat tetapi tidak dengan suara nyaring.

Sebahagian ahli tafsir, seperti Ibrahim al-Biqa'i, menyatakan bahawa huruf-huruf dalam basmallah yang berjumlah 19 itu memiliki rahsia tersendiri.

Di antaranya adalah sebagai simbol penghindaran seseorang daripada ancaman para penjaga neraka yang menurut al-Quran jumlahnya 19 malaikat (rujuk al-Muddaththir: 30).

Dengan demikian, jika kita sering membaca basmalah, kita akan terhindar daripada azab neraka. Ucapan untuk menolak perkara yang buruk, iaitu la haula wa la quwwata illa bi Allah, juga terdiri daripada 19 huruf.
Ketika membaca surah-surah dalam al-Quran, dianjurkan untuk memulainya dengan basmallah, kecuali membaca surah at-Taubah.

Basmallah pada surah at-Taubah dibaca di tengah surah atau beberapa ayat setelah ayat pertama.
Hal ini kerana surah at-Taubah berisi kemarahan Tuhan dan pernyataan perang kaum Muslim terhadap orang-orang musyrik, sedangkan bacaan basmalah mengandung perdamaian dan cinta kasih Allah SWT.
Pendapat lain mengatakan bahawa para sahabat tidak dapat memastikan apakah surah at-Taubah merupakan surah tersendiri atau bahagian daripada surah al-Anfal.

Pemisahan yang kemudian dilakukan menjadi surah sendiri adalah hasil kompromi para mufassir ketika penyusunan mushaf Uthmani.

Orang Beriman Itu Bersaudara


KEHIDUPAN di dunia ini ibarat suatu bangunan mengukuhkan antara satu sama lain. Umat Islam diseru supaya sentiasa bersatu dengan berpegang kepada tali Allah SWT iaitu dengan takwa dan keimanan yang kukuh. Tanpa kekuatan iman dan perpaduan yang kuat, umat Islam dengan mudah akan dikalahkan oleh musuh-musuh Islam.
Sikap benci-membenci dan juga berpecah-belah ini bukan sahaja melemahkan kekuatan ummah malah boleh menghancurkan perpaduan dan kekuatan Islam. Perpaduan dan kekuatan ummah ini mestilah dibina daripada keluarga yang bahagia, masyarakat yang sejahtera dan negara yang aman serta makmur.

Rasulullah SAW melarang beberapa sikap yang boleh membawa permusuhan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Sikap tersebut ialah dengki, menipu, benci-membenci, bermusuhan, menjual atas jualan orang lain dan menghina sesama Islam.

Malah adalah haram bagi seseorang Islam menjatuhkan maruah atau kehormatan saudaranya kerana perbuatan tersebut membawa keburukan kepada individu dan masyarakat Islam seluruhnya.
Berkaitan hal ini, sabda Nabi SAW yang bermaksud: Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim lainnya, tidak menzalimi saudaranya dan tidak mengecewakannya (membiarkannya menderita) dan tidak merosakkannya (kehormatan dan nama baiknya). (riwayat Muslim).

Antara faktor yang boleh memecah-belahkan umat Islam termasuklah dengki (Al-Hasad). Benci-membenci (Al-Ghadab), berpaling muka, menipu (An-Najasyu) dan jual beli di atas jualan orang lain.
Al-Hasad ialah perasaan dengki, iri hati atau kurang senang dengan kelebihan orang lain atau berharap nikmat tersebut hilang dan berpindah kepadanya. Orang yang dengki berharap orang yang menerima nikmat mendapat bala.
Islam melarang umatnya berhasad dengki kerana hasad dengki akan menghilangkan segala amal kebajikan yang dilakukan. Nabi SAW bersabda: "Berwaspada terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api memakan kayu." (riwayat Abu Daud).

Selain itu, sifat ini boleh menimbulkan pergaduhan dalam kalangan orang Islam. Seterusnya, wujud suasana benci-membenci antara satu dengan yang lain. Akhir sekali, menyebabkan jiwa dan perasaan seseorang itu resah, tidak tenteram dan benci melihat kesenangan orang lain.

Benci-membenci pula ialah perasaan marah dan tidak menyenangi orang lain. Perasaan ini lahir daripada sifat angkuh dan sombong yang mendorong seseorang itu memfitnah, menghina dan menyakiti orang lain. Sikap saling membenci sesama Islam mendatangkan akibat buruk terhadap individu dan masyarakat. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Paling kuat tali hubungan keimanan ialah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah." (riwayat Ath Thabrani)

Islam turut melarang umatnya berpaling muka antara satu sama yang lain. Orang yang berpaling muka hidup mementingkan diri sendiri, tidak bertegur sapa, megah diri dan tidak menghiraukan orang lain sangat dibenci oleh Islam.

Perbuatan menipu dilarang kerana bersikap tidak jujur dalam menjalankan muamalat, sama ada melalui tutur kata atau tingkah laku. Perbuatan ini hanya bertujuan untuk menyusahkan orang lain. Sikap menipu juga akan menyebabkan orang lain menjauhkan diri dengan si penipu.

Jual beli di atas jualan orang lain dilarang kerana ia membatalkan suatu jualan atau pembelian orang lain untuk kepentingan diri sendiri. Jual beli cara ini mengambil kesempatan dengan menawarkan harga yang lebih murah kepada pembeli yang sedang berurusan dengan penjual yang lain.

Orang Islam adalah bersaudara. Setiap orang mempunyai hak dan kewajipan terhadap saudaranya yang lain. Ini kerana setiap Muslim tidak boleh dizalimi, didustai, dihina dan sebagainya. Oleh itu, sifat kasih sayang mesti dipelihara bagi mewujudkan ikatan persaudaraan yang teguh dalam kalangan orang Islam.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah, semoga kamu mendapat rahmat-Nya. Peringatan ini seharusnya dijadikan pedoman dan panduan dalam kehidupan kita.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Barang siapa mengikuti Allah dan rasul-Nya dan takut kepada Allah serta bertakwa, mereka itulah orang yang menang. (an-Nur: 52).