KEHIDUPAN di dunia ini ibarat suatu bangunan mengukuhkan antara satu sama lain. Umat Islam diseru supaya sentiasa bersatu dengan berpegang kepada tali Allah SWT iaitu dengan takwa dan keimanan yang kukuh. Tanpa kekuatan iman dan perpaduan yang kuat, umat Islam dengan mudah akan dikalahkan oleh musuh-musuh Islam.
Sikap benci-membenci dan juga berpecah-belah ini bukan sahaja melemahkan kekuatan ummah malah boleh menghancurkan perpaduan dan kekuatan Islam. Perpaduan dan kekuatan ummah ini mestilah dibina daripada keluarga yang bahagia, masyarakat yang sejahtera dan negara yang aman serta makmur.
Rasulullah SAW melarang beberapa sikap yang boleh membawa permusuhan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Sikap tersebut ialah dengki, menipu, benci-membenci, bermusuhan, menjual atas jualan orang lain dan menghina sesama Islam.
Malah adalah haram bagi seseorang Islam menjatuhkan maruah atau kehormatan saudaranya kerana perbuatan tersebut membawa keburukan kepada individu dan masyarakat Islam seluruhnya.
Berkaitan hal ini, sabda Nabi SAW yang bermaksud: Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim lainnya, tidak menzalimi saudaranya dan tidak mengecewakannya (membiarkannya menderita) dan tidak merosakkannya (kehormatan dan nama baiknya). (riwayat Muslim).
Antara faktor yang boleh memecah-belahkan umat Islam termasuklah dengki (Al-Hasad). Benci-membenci (Al-Ghadab), berpaling muka, menipu (An-Najasyu) dan jual beli di atas jualan orang lain.
Al-Hasad ialah perasaan dengki, iri hati atau kurang senang dengan kelebihan orang lain atau berharap nikmat tersebut hilang dan berpindah kepadanya. Orang yang dengki berharap orang yang menerima nikmat mendapat bala.
Islam melarang umatnya berhasad dengki kerana hasad dengki akan menghilangkan segala amal kebajikan yang dilakukan. Nabi SAW bersabda: "Berwaspada terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api memakan kayu." (riwayat Abu Daud).
Selain itu, sifat ini boleh menimbulkan pergaduhan dalam kalangan orang Islam. Seterusnya, wujud suasana benci-membenci antara satu dengan yang lain. Akhir sekali, menyebabkan jiwa dan perasaan seseorang itu resah, tidak tenteram dan benci melihat kesenangan orang lain.
Benci-membenci pula ialah perasaan marah dan tidak menyenangi orang lain. Perasaan ini lahir daripada sifat angkuh dan sombong yang mendorong seseorang itu memfitnah, menghina dan menyakiti orang lain. Sikap saling membenci sesama Islam mendatangkan akibat buruk terhadap individu dan masyarakat. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Paling kuat tali hubungan keimanan ialah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah." (riwayat Ath Thabrani)
Islam turut melarang umatnya berpaling muka antara satu sama yang lain. Orang yang berpaling muka hidup mementingkan diri sendiri, tidak bertegur sapa, megah diri dan tidak menghiraukan orang lain sangat dibenci oleh Islam.
Perbuatan menipu dilarang kerana bersikap tidak jujur dalam menjalankan muamalat, sama ada melalui tutur kata atau tingkah laku. Perbuatan ini hanya bertujuan untuk menyusahkan orang lain. Sikap menipu juga akan menyebabkan orang lain menjauhkan diri dengan si penipu.
Jual beli di atas jualan orang lain dilarang kerana ia membatalkan suatu jualan atau pembelian orang lain untuk kepentingan diri sendiri. Jual beli cara ini mengambil kesempatan dengan menawarkan harga yang lebih murah kepada pembeli yang sedang berurusan dengan penjual yang lain.
Orang Islam adalah bersaudara. Setiap orang mempunyai hak dan kewajipan terhadap saudaranya yang lain. Ini kerana setiap Muslim tidak boleh dizalimi, didustai, dihina dan sebagainya. Oleh itu, sifat kasih sayang mesti dipelihara bagi mewujudkan ikatan persaudaraan yang teguh dalam kalangan orang Islam.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah, semoga kamu mendapat rahmat-Nya. Peringatan ini seharusnya dijadikan pedoman dan panduan dalam kehidupan kita.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Barang siapa mengikuti Allah dan rasul-Nya dan takut kepada Allah serta bertakwa, mereka itulah orang yang menang. (an-Nur: 52).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan