29 Mei 2010

BENGKEL BERMAIN SAMBIL BELAJAR TASKA

Pada hari Sabtu, 29 Mei 2010, Taska Permata Kg. Jabi mengadakan Bengkel Bermain Sambil Belajar di Taska Permata Kg. Jabi. Ibu bapa dan anak-anak Taska Permata Kg. Jabi hadir di bengkel tersebut. Di sana, dibentangkan bagaimana aktiviti di taska dijalankan. Ibu bapa juga diajak sama mengalami akitiviti bermain sambil belajar bersama anak masing-masing. Program bermula seawal pukul 9.00 pagi dan berakhir pukul 12.00 tengah hari. Anak-anak adalah harta paling berharga buat ibu bapa. Oleh itu, jaga dan berilah perhatian sewajarnya kepada mereka. Mudah-mudahan mereka menjadi anak yang berjaya dunia dan akhirat.





SANTAI FAMILY DI LA HOT SPRING

Pada bulan Mei- Jun ni di La Hot Spring agak panas cuacanya. Air sungai agak cetek. Begitu juga dengan air kolam. Namun begitu, pengunjung dapat mandi dengan selesa kerana banyak kemudahan disediakan di sana. Selain gerai makanan, tempat penginapan disediakan kepada pengunjung dengan sewa antara RM40 - RM60 semalaman.
















Santai pada pagi Jumaat, 28 Mei 2010

27 Mei 2010

MAKAN-MAKAN

Sekali sekala makan di restoran bersama keluarga perlu bagi merasa kelainan dan mengeratkan hubungan kasih-sayang anggota keluarga. Foto-foto ini adalah makan bersama keluarga di restoran hadapan Sk. Pusat Jerteh pada petang Rabu, 26 Mei 2010. Di restoran ini harganya adalah berpatutan.








Ikan siakap masakan 3 rasa

22 Mei 2010

KEAJAIBAN SELAWAT

Sebagai umat Islam yang beriman, marilah kita sentiasa berselawat. Satu ungkapan yang mudah tetapi penuh khasiat. Mari kita rungkai khasiat dan keajaiban selawat yang hanya diturunkan kepada umat Nabi Muhammad sahaja. Antara keajaiban selawat adalah :

  • Sabda Rasullah SAW : Barang siapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda - (HR Muslim.)
  • Allah akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali setiap kali selesai menunaikan solat fardu.
  • Jodoh ditentukan oleh Allah. Amalkan selawat 100 kali sehari, insya-Allah akan dipermudahkan bertemu jodoh sama ada lelaki @ wanita.
  • Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat 7 kali pada air dan minum. Insya Allah, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.
  • Sesiapa yang amal membaca selawat 3 kali setiap selepas solat 5 waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah.
  • Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insya Allah akan dikurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu, berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.
  • Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali setiap hari, dengan izin Allah dirinya akan lebih dihormati dan dihargai oleh orang lain.
  • Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa yang berselawat walau sekali pada malam Jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan Allah seperti yang dihadapi oleh para nabi.
  • Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, Insya Allah akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki, dan sebagainya dalam dirinya.
  • Sesiapa yang amalkan berselawat 1000 kali pada malam Jumaat, Insya Allah akan beroleh kebahagiaan sama ada di dunia mahupun di akhirat.
  • Amalkan selawat 11 kali tiap kali selesai solat fardu kerana Allah akan mengindahkan akhlaknya menjadi lebih disenangi di kalangan orang lain.
  • Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.
  • Sesiapa yang berselawat tidak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaanNya.
  • Amalan berselawat sebanyak yang mungkin setiap hari menjamin keselamatan hidup dan pertolongan Allah, lebih-lebih lagi pada saat kita menghadapi kesukaran hidup.
  • Menurut Syibab Ahmad, sesiapa berselawat 3 kali setiap selesai solat Subuh, Maghrib & Isyak, Allah akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.
  • Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali setiap hari, Allah akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah.
  • Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan Allah akan segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNya.
  • Menurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipu daya syaitan yang melalaikan.
  • Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah.
  • Sesiapa yang membaca selawat sebanyak 7 kali selama 7 Jumaat berturut-turut, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW.
  • Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.
  • Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat Asar pada hari Jumaat, Insya Allah akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang.
  • Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, Allah akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka- sangka baginya.
  • Jiwa yang resah gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana Allah itu Maha Luas rahmatnya.
  • Ulamak berpendapat, sesiapa yang mengamalkan selawat saban hari tidak kira berapa hitungannya, insya-Allah dihindarkan daripada taun dan wabak penyakit berbahaya yang lain.
  • Membaca selawat 1000 kali selepas solat hajat 2 rakaat mampu menghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan Allah akan hajatnya.
  • Menurut para ulama, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib.
  • Para Ulamak berpendapat, Allah akan sempurnakan hajat yang baik dengan sentiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, diikuti dengan usaha yang berterusan.
  • Sabda Nabi SAW yang bermaksud : Barang siapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari Jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya – HR Abu Naim.
  • Sabda Nabi SAW yang bermaksud : Barang siapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang tiap hari, ia akan beroleh syaafaatku pada hari kiamat- HR Thabrani.




20 Mei 2010

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN

Selamat Menduduki Peperiksaan Pertengahan Tahun
kepada semua murid Sk. Renek
pada 23 hingga 27 Mei 2010 ini.
Jangan lupa ulang kaji dan jawablah dengan
hati yang tenang. Semoga kejayaan sentiasa
bersama anda semua
.

19 Mei 2010

PENYELARASAN PLBS (BM) DI SK PULAU PERHENTIAN


Pada 20 Mei 2010, saya selaku Ketua Pentaksir Kawasan (KPKw) BM Daerah Besut mengadakan lawatan penyelarasan ke Sk. Pulau Perhentian (SKPP), Besut. Alhamdulillah penyelarasan dapat dijalankan dengan lancar. Pentaksir di sekolah berkenaan dapat menjalankan pentaksiran dan tahu bagaimana penskoran diberi.

Ketua Pentaksir Kawasan (KPKw) ketika di Jeti Kuala Besut

Jeti Pulau Perhentian

Jeti Kuala Besut

Bot disediakan untuk kemudahan pelancong

En. Adnan Omar salah seorang Pentaksir Sekolah (Ps) di SKPP

18 Mei 2010

BERPENGAKAP SETIAP MASA


Ahli Pengakap sentiasa memberi perhatian dalam
setiap sesi perjumpaan mingguan.
"Sekali Berpengakap Terus Berpengakap"

16 Mei 2010

SUKAN HARI GURU

Aksi-aksi diperlawanan akhir ping pong Hari Guru SKR 2010
yang diadakan pada 16 Mei 2010

Aksi Naib Juara

Aksi Juara

15 Mei 2010

SELAMAT HARI GURU 2010

"GURU PEMBINA NEGARA BANGSA"

Saya ambil kesempatan untuk mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru walau di mana saja berada. Sesungguhnya jasa-jasa guru terlalu besar dan sukar untuk digambarkan melalui apa cara sekalipun.

"SELAMAT HARI GURU"

11 Mei 2010

MENGULANG KAJI BERKESAN

PENGENALAN



Artikel ini menjelaskan pengertian dan kepentingan mengulang kaji pelajaran serta bagaimana dan bila ulang kaji harus dimulakan.




PENGERTIAN MENGULANG KAJI


Mengulang kaji adalah suatu proses mempelajari atau menyemak semula dengan tujuan memahami dan mengingat semua maklumat serta fakta dari nota-nota ringkas bahan-bahan pelajaran yang telah anda pelajari sebelum ini. Ia bukannya bertujuan mendapatkan maklumat-maklumat baru.


BAGAIMANA MENGULANG KAJI ?

Antara perkara yang anda harus lakukan dalam proses mengulang kaji adalah :

  • Membaca dan menyemak nota-nota bahan-bahan pelajaran sambil melengkapkan yang kurang. Ini akan memantapkan kefahaman dan ingatan anda terhadap subjek berkenaan.
  • Membaca buku teks. Tujuannya untuk memastikan anda benar-benar faham setiap prinsip, isu dan fakta yang dimuatkan.
  • Menjawab soalan-soalan latihan atau kerja rumah yang guru berikan. Ini akan membolehkan anda menguji kebolehan anda menjawab soalan yang sama dalam peperiksaan.
  • Mengkaji contoh-contoh jawapan peperiksaan tahun lepas bersama skima jawapan. Ini akan membolehkan anda membiasakan diri menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan lebih yakin dan pantas.
  • Menjawab soalan-soalan yang berbentuk objektif. Ini akan membolehkan mengetahui soalan-soalan yang anda sudah tahu menjawabnya dan soalan-soalan yang mengelirukan agar semasa peperiksaan jika soalan yang sama keluar, anda akan dapat menjawab dengan yakin.
  • Bersoal jawab bersama-sama rakan. Selain itu, ianya membolehkan anda mengenalpasti sama ada anda sudah cukup bersedia atau tidak menghadapi peperiksaan, pada masa yang sama, anda juga boleh mendapat penjelasan tentang bahagian-bahagian yang anda kurang faham dari rakan anda yang mungkin sudah menguasai bahan pelajaran itu.


TEMPOH MENGULANG KAJI (PECUTAN AKHIR)


Adalah mustahil untuk menyatakan dengan tepat jumlah masa yang perlu diperuntukkan untuk mengulang kaji kerana kemampuan seseorang itu berbeza. Ada pakar yang mengatakan bahawa masa mengulang kaji perlu dilakukan selama 3 bulan. Ada pula yang berpendapat selepas peperiksaan percubaan kerana anda telah menamatkan tempoh belajar bagi menghadapi peperiksaan percubaan. Yang lain pula mengatakan selama 3 minggu. Ada juga yang berpendapat mengulang kaji secara ringkas setiap minggu akan menambahkan keyakinan seseorang itu menghadapi peperiksaan. Tetapi, sebagai panduan, 6 hingga 8 minggu di saat terakhir peperiksaan merupakan tempoh yang baik untuk memulakan proses mengulang kaji. Namun, bagi pelajar yang lemah hendaklah proses mengulangkaji pecutan akhir ini dibuat lebih awal daripada yang disarankan di atas.



MERANCANG PROGRAM MENGULANG KAJI


  • Buat jadual ulang kaji yang seimbang bagi tiap-tiap mata pelajaran. Jadualkan juga masa berehat untuk mengurangkan ketegangan. Dalam mengulang kaji pelajaran, anda hendaklah berehat setiap 20 hingga 30 minit. Waktu rehat sekurang-kurangnya 5 minit.


  • Tumpukan pada topik utama sahaja. Tanya guru anda untuk mendapatkan "hint" (bayangan) tentang topik yang mungkin akan disoal di dalam peperiksaan.


  • Semak contoh-contoh soalan tahun-tahun yang lalu supaya anda dapat menjangka bentuk jawapan yang diperlukan.


  • Ulang kaji dengan cermat setiap mata pelajaran.


  • Sediakan nota-nota ringkas, terutamanya bagi topik yang dijangka akan keluar.

  • Buat rangka jawapan topik-topik yang dijangka keluar berdasarkan soalan-soalan peperiksaan yang lepas.


  • Latih diri anda menjawab soalan-soalan peperiksaan yang lepas mengikut waktu yang telah ditetapkan.


  • Rujuk kepada guru apabila menghadapi masalah berhubung dengan pelajaran.


  • Jangan sekali-kali ponteng kelas ketika hampir peperiksaan. Anda mungkin tertinggal tip-tip penting yang diberikan oleh guru atau pensyarah anda.



PEMBAHAGIAN MATA PELAJARAN DALAM MENGULANG KAJI


Mata Pelajaran Yang Anda Lemah

  • Cuba sedaya upaya kuasai mata pelajaran ini. Jangan berputus asa.
  • Banyakkan bertanya kepada guru atau rakan tentang mata pelajaran ini.


Mata Pelajaran Yang Anda Kuat

  • Jangan ambil mudah walaupun anda fikir sudah menguasainya.
  • Beri masa yang secukupnya kepada pelajaran ini untuk memastikan kejayaan anda.
  • Apabila hampir hari peperiksaan, lebihkan lagi tumpuan anda kepada mata pelajaran seperti ini.



MENILAI KEUPAYAAN ANDA


Anda haruslah menilai sejauh mana anda dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan. Berikut ini dipaparkan beberapa cara di mana anda boleh menilai serta memperbaiki keupayaan anda menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan.


Penilaian Dari Ujian dan Latihan

Ujian / Peperiksaan yang dijalankan dalam kelas merupakan satu bentuk penilaian terhadap kefahaman dan keupayaan anda menjawab soalan-soalan peperiksaan yang sebenar. Berdasarkan keputusan ujian / peperiksaan tersebut, anda akan dapat mengetahui tahap penguasaan anda terhadap mata pelajaran-mata pelajaran anda. Melalui keputusan ujian tersebut, anda boleh memperbaiki segala kelemahan anda bagi menghadapi peperiksaan yang sebenar dengan jayanya.


Penilaian Dari Contoh Jawapan

Anda juga boleh menguji tahap keupayaan anda dengan menjawab soalan-soalan contoh jawapan. Selepas anda menjawab soalan contoh jawapan, bandingkan jawapan anda dengan contoh jawapan. Kenalpasti di manakah kelemahan anda dan buat pembaikan sewajarnya.


Penilaian Secara Lisan

Contohnya, seorang pelajar menyoal kawannya dan meminta beliau menghuraikan secara lisan sehingga yang satu pihak lagi berpuas hati.


MENGATASI KELEMAHAN


Mencari Sebab (Post-Mortem)

Anda perlu mengkaji kelemahan anda setiap kali anda selesai menjawab soalan-soalan ujian. Setelah anda selesai membuat latihan ujian, semak setiap jawapan yang anda buat. Sekiranya jawapan anda salah, lakukan 'post-mortem' (suatu proses mencari sebab kelemahan dan kekuatan). Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya dan ini merupakan perkara utama yang perlu anda atasi.


Sebab-sebab kesalahan berlaku :

Anda Tidak tahu - Ini bermakna persediaan anda belum mencukupi.
Penyelesaian: Peruntukkan masa yang sewajarnya untuk anda menguasai tajuk-tajuk tersebut.


Anda Tidak faham - Anda baca tetapi tidak faham.
Penyelesaian: Minta bantuan. Bertanyalah kepada guru atau rakan anda.


Anda Keliru – Anda tidak dapat memahami dengan jelas apa yang anda ingin pelajari atau fahami.
Penyelesaian: Tanyakan guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan anda. Minta penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak berulang.


Anda Lupa - Ini disebabkan anda kurang mengulangi atau mengulangkaji apa yang telah anda pelajari.
Penyelesaian: Kerapkan ulang kaji.


Anda Cuai – Anda tidak teliti semasa membaca soalan.
Penyelesaian: Pastikan anda mengikuti langkah-langkah penting dalam Strategi Menjawab Soalan. Pastikan anda benar-benar sudah memahami kehendak soalan sebelum menjawab.


Umumnya, kelemahan-kelemahan anda boleh diatasi dengan :-

  • Segera / selalu bertanya kepada guru/rakan tentang masalah anda dalam pelajaran.
  • Mendapatkan jawapan-jawapan yang betul bagi jawapan yang salah.
  • Mengulang kaji dan membaca nota-nota anda dengan kerapkali.
  • Memahirkan diri dengan teknik menjawab soalan berpandukan contoh jawapan.