18 Apr 2010

FAEDAH MENYERTAI KOKURIKULUM

Contoh Jawapan Bahagian B (Tahun 5 - OTI 1)



Soalan 1

Tulis sebuah karangan yang bertajuk “Faedah-faedah menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah”.



Kegiatan kokurikulum telah dianggap satu aktiviti yang penting tetapi pembabitan pelajar agak mengecewakan. Kegiatan kokurikulum adalah kegiatan luar bilik darjah yang melibatkan aktiviti seperti sukan dan permainan, kelab dan persatuan serta unit beruniform. Ada pelbagai faktor yang menyebabkan pelajar tidak mahu melibatkan diri mereka dalam aktiviti ini. Sikap tidak acuh pelajar ini telah menyebabkan kerajaan mewajibkan kegiatan ini dan menjadi syarat untuk pemilihan ke universiti. Sebenarnya, kokurikulum mempunyai banyak faedah yang tersirat kepada pelajar.


Pelajar yang terlibat dengan kokurikulum dapat menyihatkan badan mereka. Peluh yang keluar dapat menghilangkan toksik badan. Pelajar yang menghadapi era persekolahan zaman ini memang penuh masalah, jadi pembabitan dalam kokurikulum mampu mengurangkan tekanan ini. Kegiatan yang dijalankan itu mampu mengalih fikiran pelajar sejenak daripada persiapan peperiksaan mereka yang penuh dengan penghafalan dan membuat latihan. Jelaslah, minda mereka dapat berehat sebentar apabila melakukan aktiviti yang berbeza iaitu kegiatan kokurikulum.

Dalam masa yang sama pembabitan pelajar memastikan mereka tidak terbabit dengan aktiviti yang tidak sihat. Kegiatan kokurikulum dilakukan pada masa-masa yang telah ditetapkan. Penetapan masa ini menyebabkan pelajar terpaksa menguruskan masa mereka dengan bijak. Pelajar yang terbabit dalam aktiviti ini akan mengutamakan aktiviti kokurikulum dan pembelajaran mereka. Ringkasnya, mereka kekurangan masa untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat seperti melepak.


Selain itu, pelajar turut dapat menambah keyakinan diri mereka melalui aktiviti kokurikulum ini. Kokurikulum menyediakan satu “medan” yang sesuai kepada pelajar untuk memimpin atau mengetuai sesuatu pertubuhan. Situasi ini memberikan mereka satu keyakinan terhadap kemampuan mereka dalam aspek-aspek tertentu. Mereka mula menyedari bakat yang ada dan berupaya untuk mengembangkannya serta mengasahnya menjadi sesuatu yang lebih cemerlang lagi seperti memimpin pertubuhan belia, syarikat dan mungkin juga negara.

Malahan, aktiviti kokurikulum membuka minda dan mata pelajar tentang erti persahabatan dan pergaulan. Mereka akan bertemu dengan pelbagai orang dalam menjalankan aktiviti kokurikulum itu. Mereka mengenal jenis manusia sebenar terutama apabila menghadapi masalah untuk menganjurkan sesuatu aktiviti. Mereka juga mengenali erti persahabatan yang sejati. Pengalaman ini semua akan mengajar pelajar erti kehidupan yang tidak boleh mereka peroleh di luar.


Pelajar juga mengetahui banyak perkara baru. Aktiviti dalam pertubuhan beruniform akan mendedahkan mereka kepada cara-cara untuk menyelamatkan mangsa ketika kecemasan, cara berkhemah, cara memasak dan cara menguruskan perbelanjaan persatuan. Semua ini memberi satu pengetahuan yang berguna kepada pelajar. Ilmu ini turut memberi pelajar satu dimensi baru dalam cara mereka melihat sesuatu pertubuhan apabila mereka keluar dari sekolah.

Kesimpulannya, aktiviti kokurikulum haruslah disertai oleh semua pelajar tanpa sebarang prasangka buruk. Mereka tidak harus menganggap aktiviti ini akan menghalang kemajuan mereka dalam peperiksaan. Mereka tidak harus menyalahkan kokurikulum kalau mereka tidak memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Mereka seharusnya melihat aktiviti ini sebagai satu proses pembelajaran yang harus dialami oleh semua orang sebagai sebahagian daripada proses kehidupan kita sebagai manusia.

3 ulasan: